12/12/2015

Kematian: Sebuah Peringatan yang Menghidupkan

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum semua! =)

Setelah berhari-hari menahan diri dari menulis dek assignment yang beratur, alhamdulillah hari ni diberi kesempatan untuk meninggalkan coretan di laman yang hampir berhabuk ni. Hari ni saya nak bercerita mengenai seorang insan yang telah tiada dalam dunia ni tapi banyak memberi kesan dalam hidup saya.

Yayi. My beloved grandfather.

Saya tak reti nak cerita macam mana. Tapi, one of the moment yang saya takkan lupa adalah waktu maghrib. I used to stay with my grandparents masa kecik. Tapi tak selama kakak saya.

Atuk saya akan mengaji pada waktu antara maghrib dan isya’. Dekat rumah nenenk saya, ada satu tempat khas yang dijadikan surau. Bilik kecik yang boleh menempatkan kurang dari 10 orang pada satu masa untuk menunaikan solat. Dekat bilik tulah ta’lim diadakan. Tempat mengaji, tempat tahajjud. Kecik tapi penuh keberkatan insyaAllah. Atuk saya akan mengaji dengan kuat. Tapi bukan menjerit. Kiranya boleh didengari di segenap ruang rumah nenek saya. Setiap kali atuk saya mengaji, saya rasa suka sangat nak tengok, nak dengar. Jadi saya akan pandang dari jauh bilik tu. Adakalanya saya duduk depan muka pintu bilik tu.

Pernah suatu hari, masa atuk saya mengaji, seperti biasa saya akan pergi dekat-dekat bilik tu untuk dengar. Tiba-tiba atuk saya menoleh dan panggil saya masuk dan ajak untuk duduk dekat riba dia. How so sweet… Masa tu saya baru umur 8 tahun ke 9 tahun ke takpun tadika lagi. Tak ingat. Then, saya pun masuk and duduk dekat riba dia and dapat dengar dia mengaji depan-depan lagi. Dengan atuk saya la saya tahu kewujudan sujud tilawah. Sebab pernah sekali masa atuk saya mengaji, tiba-tiba dia sujud lepas habis baca ayat tersebut. Saya pelik. Tapi saya tak terus tanya. Lepas lebih dari sekali saya tengok, tergerak hati saya untuk ingat ayat yang atuk saya baca. Sebab saya nak tau kenapa dia sujud tiba-tiba. Then, baru saya tau adanya tanda macam gamba sejadah dekat sesetengah ayat dalam Qur’an. Then, baru saya belajar dekat sekolah. Saya pun tak pasti kenapa saya tak tanya je atuk saya masa tu.

Dengan atuk saya jugak, saya begitu bersemangat untuk baca Iqra’ masa tu. Saya baru Iqra’ 2 masa tu. Dia ajak saya mengaji sebelah dia. Bersemangat saya mengaji sampai saya ulang 20 kali muka surat yang sama malam tu! Malam tu mak saya telefon, semangat saya bagitau mak saya, saya mengaji siap ulang 20 kali!

Atuk saya, sepanjang kehidupan dia yang saya ingat ada lebih 10 jenis ubat yang dia akan telan setiap hari. Setiap kali sampai masa dia makan ubat, saya akan rasa excited untuk duduk sebelah dia dan tengok dia bawak keluar setiap satu persatu botol ubat dia, termasuk alas untuk dia potong tablet and pisau lipat kecik. Sambil bawak keluar satu persatu botol ubat dia, dia akan cakap, “ni ubat lemah jantung, darah tinggi, kencing manis…etc..” Saya tak ingat ubat lain untuk apa. Tapi dia akan masukkan semua tablet tu sekali harung. Lepastu minum air manis. Memang saya melopong je tengok dia telan semua tu. Saya selalu terfikir, macam manalah dia boleh untuk telan semua ubat tu sekaligus? Sebab saya tak boleh telan ubat. Jadi saya rasa kagum.

“Asal nama kau biyah tok?” Nilah trademark dia setiap kali jumpa saya. Sambil picit hidung saya guna dua jari dia. Lepastu gelak. Saya sakit hati. Sebab sakit kot dia picit. Dan saya akan jawab, “yayi yang bagi nama ni. Manalah orang tau.” Haha. Saya memang suka menjawab. Pernah sekali dalam kereta, dia asyik ulang ayat yang sama, kebetulan masa tu saya duduk sebelah dia. Dekat belakang ada nenek dan makcik saya. Saya rasa bising. Dengan selamba saya cakap, “diamlah yayi. Bising je.” Lepastu dia gelak. Nenek saya pun gelak.

Ada satu hari tu masa saya balik rumah nenek saya, atuk saya excited betul cerita dekat saya, tarik tangan saya bawak dekat depan surau. Dia tunjuk dekat lantai simen depan tu. “Cuba kau tengok tapak kaki siapa kat simen tu?” Sambil gelak. Mula-mula saya tak nampak, saya cuba tengok dekat-dekat dan perhati betul-betul. Ada tapak kaki budak dalam umur 3 4 tahun mungkin. Atuk saya cakap, tu tapak kaki saya. Masa dia nak simen kat situ, saya tak boleh duduk diam, lepastu selamba je jalan atas simen yang belum kering lagi. Saya pelik sebenarnya, kenapa atuk saya baru cakap hari tu sedangkan selama ni saya balik rumah dia takde pulak dia tunjuk. Mungkin dia baru teringat agaknya.

Masa saya darjah enam rasanya. Atuk saya dah start sakit-sakit. Ada sampai masuk hospital. Masa tu saya tak faham. Keadaan atuk saya bertambah teruk masa saya tingkatan satu. Saya pergi melawat atuk saya dekat hospital dengan keluarga saya. Saya hanya mampu doa dalam hati. Tak sanggup rasanya nak pergi sebelah katil dia. Tengok dia sakit.Saya tengok dekat katil dia, ada kantung air. Ada darah kat dalam. Masa tu saya tak tahu tu kantung apa. Saya ingat lagi masa tu, sebab saya tak sanggup tengok atuk saya sakit, saya doa dalam hati, “Ya Allah andai mati itu baik untuk atuk aku, kau permudahkanlah bagi dia. Sesungguhnya aku dah tak sanggup nak tengok dia menderita kesakitan.”

Saya tak tahulah boleh ke tak doa macam tu sebenarnya. Tapi tak lama lepas tu Allah telah memanggilnya pulang. Dan masa tu saya tengah final exam form 1. Saya hanya tahu atuk saya dah takde 10 hari lepas kematian dia. Masa saya tau tu, seharian kot saya menangis.

Nenek saya cerita, ramai sangat orang datang. Atuk saya peramah, kawan dia memang sangat ramai. Antara perkara yang saya suka buat dekat atuk saya, saya suka baring sebelah dia masa dia tengah tidur. Atuk saya suka berjalan. Dan saya suka ikut atuk saya berjalan. Masa monorel mula-mula beroperasi dulu, masa harga tiket dia masih dalam promotion, atuk saya nak pergi naik monorel. Saya ikut dia. Kira pertama kali saya naik monorel adalah dengan atuk saya masa saya darjah lima. Tapi sepanjang saya bersama atuk saya, saya tak banyak cakap. Sebab saya memang pendiam masa kecik. Tapi, walaupun tak banyak communication, just his presence pun saya dah rasa dekat.

Sekarang, walaupun dah 11 tahun atuk saya takde, saya tetap akan menangis setiap kali teringat dia. Doa untuk dia. Saya selalu terfikir, “kalau atuk aku ada lagi….” Saya sendiri kurang pasti kenapa saya macam ni.



Semoga yayi mendapat nikmat kubur dan nikmat syurga.
Semoga yayi terhindar dari azab siksa kubur dan azab neraka.
Semoga yayi baik-baik sahaja di sana.

Ok. Tak nak sedih-sedih dah. Lumrah kehidupan, ada yang pergi ada yang datang mengganti. Kita yang masih hidup ni, jangan sia-siakan hidup kita. Memang bukan senang nak istiqamah buat baik sepanjang masa, isi masa dengan perkara berfaedah sokmo. Cakap memang senang, realitinya tak semudah itu. Tetapi, kita tak boleh putus asa dan mengalah sebelum mencuba untuk berubah.

Setiap kali kita teringat akan orang yang telah tiada mungkin sebenarnya Allah bagi hint dekat kita. Mungkin sebab tengok kita ni lalai semacam, atau cintakan dunia lebih-lebih, jadi Allah bagi kita teringat dekat orang yang tiada supaya kita ambil pelajaran dan perbaiki kehidupan kita. Mungkin jugak sebab kita dah lama tak doa untuk si mati, jadi sesekali Allah bagi hint dekat kita. Jadi, jangan abaikan macam anginnlalu. Grab, take it and change!



12122015
Sabtu
Kuantan

17:54